May 14, 2016
KUALA KANGSAR - Pembangkang harus mempertimbangkan kemungkinan memberi kemenangan percuma kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Anuar Musa berkata, pendekatan itu pernah diambil oleh BN ketika pemergian Bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat bagi kerusi DUN Cempaka pada tahun lalu.
“Saya harap pembangkang pertimbangkan untuk memberi kemenangan percuma.
“Kalau itu berlaku ianya akan lebih baik kerana jimat masa dan jimat tenaga,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri majlis bacaan yasin dan tahlil untuk Allahyarham Datuk Wan Mohamad Khair-il Anuar Wan Ahmad di sini pada Sabtu.
Turut hadir Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil dan barisan kepimpinan UMNO bahagian Kuala Kangsar.
Namun, tambah Anuar, sekiranya pembangkang tetap mahu bertanding, BN mengalu-alukan keputusan tersebut dan berharap ianya akan dilakukan secara sihat.
Sementara itu, Shahrizat memberitahu, Wanita UMNO menyerahkan sepenuhnya soal pemilihan calon kepada Presiden parti, Datuk Seri Mohd Najib Abd Razak.
Katanya, sayap itu percaya kebijaksanaan Presiden parti dalam memilih calon akan memberikan kemenangan kepad BN pada kedua-dua PRK yang akan berlangsung pada 18 Jun depan.
“Pada akhirnya kita akur atas keputusan yang dibuat oleh Presiden, kami percaya presiden akan mengambil keputusa terbaik.
“Yang mustahak, calon yang akan mewakili BN mesti lah calon yang boleh membawa kemenangan, sebab itu kami redha,” jelasnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengumumkan dua PRK akan diadakan serentak di Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun depan ekoran kematian penyandangnya dalam nahas helikopter di Sarawak baru-baru ini.
ADMIN
MKW
No comments:
Post a Comment